September 19, 2010

Poyo : penyakit dlm kalangan mahasiswa ?



Perkataan Poyo sangat popular dikalangan remaja masa kini dan juga dikalangan para pelajar termasuk di IPTA. Maksud perkataan Poyo ini adalah seperti ’tunjuk pandai’ atau’menunjuk-nunjuk’ atau ’melebih lebih’ atau ’terlebih semangat’. Asal usul sebenar perkataan ini tidak diketahui dengan jelas. Apa yang ingin disentuk mengenai budaya atau pemikiran ini adalah kerana pemikiran ini nampaknya merupakan penyebab utama mengapa para pelajar IPTA, kususnya tahun dua dan ke atas, pasif dalam kelas. Tidak mahu menanya soalan dan tidak mahu menjawab soalan ketika dalam kuliah.

Alasan saya bahawa budaya melabel Poyo kepada pelajar yang aktif dalam kuliah benar-benar berlaku adalah jika diperhatikan, ketika sesorang pensyarah itu sedang menyampaikan kuliah, tiada seorang pun pelajar yang berani untuk membuka mulut mengajukan soalan yang bernas atau pandangan yang kritis. Tetapi setelah pensyarah mengatakan ’kuliah kita sampai di sini sahaja’, maka dapat dilihat para pelajar berdedai-dedai ke depan dewan kuliah untuk bertemu dengan pensyarah itu sendiri. Berapa banyak kalikah perkara sebegini berlaku? Pada pandangan saya sebagai pelajar, hampir setiap kuliah berlaku sebegini.

Menanyakan soalan (yang bernas, bukan soalan seperti ’bilakah tarikh akhir menghantar tugasan?’) dan memberi pandangan yang kritis sewaktu perkuliahan berlangsung seakan-akan suatu taboo dikalangan para pelajar. Sekiranya ada pelajar yang berbuat demikian, maka pelajar tersebut akan diberi gelaran Poyo. Dan kebiasaannya pelajar sebegini, hubungannya dengan pelajar lain tidak berapa rapat. Dan juga kadang-kala, pelajar lain akan menjauhi pelajar ini kerana mungkin takut turut dilabel sebagai Poyo atau tergolong dalam golongan poyo.


Saya cukup yakin bahawa ini adalah penjelasan yang paling tepat untuk menerangkan situasi yang berlaku di dalam dewan kuliah pada masa kini walaupun kajian secara empirik, atau survey tidak pernah dilakukan untuk membuktikan perkara ini benar-benar berlaku.

Masalah yang akan timbul adalah jelas. Pelajar yang kritis tidak dapat menyampaikan buah fikiran, ilmu sukar bercambah dan dalam jangka masa panjang, mungkin akan meruntuhkan tamadun sesebuah masyarakat. Ini semua mungkin berlaku apabila individu dalam sesebuah masyarakat itu segan atau takut untuk menyuarakan pendapat dan bertanya soalan sedangkan buah fikiran yang ada mungkin adalah sesuatu yang bernas. Mereka yang lantang bersuara akan diejek entah kenapa alasannya.

Walaupun begitu, berdasarkan pemerhatian dan pandangan saya, budaya Poyo ini wujud hanya di dalam dewan kuliah yang besar sahaja, tidak berlaku dalam bilik-bilik tutorial atau perbincangan yang kecil. Dan berdasarkan pemerhatian dan pengalaman sendiri, rasa takut untuk bertanya dan menyatakan pendapat ini timbul dengan kuatnya sekiranya dalam sesuatu majlis itu terdapat orang yang dikenali. Sekiranya dalam sesebuah dewan kuliah itu, setiap individu tidak kenal antara satu sama lain, kemungkinan mereka tidaklah sepasif seperti yang berlaku di dewan-dewan kuliah.

Memandangkan golongan cendikiawan yang ada sekarang ini mendapat pendidikan dalam suasana yang tidak kenal apa itu Poyo, maka soalannya ialah, apakah cendikiawan yang akan wujud akan datang yang lahirnya dari generasi yang mempunyai budaya Poyo?

Asal usul pembentukan pemikiran ini perlu dikaji dan difahami untuk memperbaiki keadaan. Mungkin pada awal pembentukan pemikiran ini, berlaku suatu kejadian dimana seorang pelajar yang aktif dalam dewan kuliah, ditegur oleh rakannya selepas tamat kuliah seperti dengan ayat ’Dahsyat la kau, dalam kuliah tadi nampak ko je, sebab ko la yang paling banyak beri idea’. Kemudian komen-komen sebegini yang pada awalnya sebagai suatu bentuk pujian telah bertukar menjadi ejekan. Dan apabila berlaku untuk jangkamasa yang panjang, maka terlahir suatu bentuk ’mental block’ berkenaan perbuatan memberi pandangan dalam dewan kuliah.

Mana mungkin perdebatan berlaku dengan aktifnya di dalam dewan kuliah jika dalam minda para pelajar ada suatu penghalang untuk membuka mulut. Mana mungkin ilmu dapat dikembangkan dengan cara ini. Mana mungkin kemajuan dapat dikecapi sekiranya sikap ini berterusan. Dan mana mungkin tamadun yang hebat akan lahir dari kalangan manusia mempunyai sikap begini? Mungkin juga hal ini timbul gara-gara proses sosialisasi masyarakat timur yang berpegang kepada prinsip merendah diri adalah suatu yang mulia. Namun, akibat terlalu ingin merendah diri, masalah lain pula yang timbul.

Mungkin juga rasa takut dalam hati para pelajar diejek oleh rakan sekiranya pandangan yang diberi adalah sesuatu yang salah, tetapi situasi ini tidak saya istilahkan sebagai Poyo. Ingin ditekankan sekali lagi bahawa Poyo ini timbul akibat tidak mahu menunjuk-nunjuk. Atau mungkin boleh saya katakan sikap rendah diri yang melampau mewujudkan pemikiran sebegini.

Satu lagi alasan yang mungkin dapat menerangkan mengapa perkara ini berlaku adalah rasa iri hati dikalangan para pelajar lain yang melihat pelajar yang aktif berbicara dalam dewan kuliah sebagai orang yang terkenal. Tidak dinafikan perasaan hasad dengki sebegini memang wujud dalam masyarakat. Sekiranya terdapat seorang pelajar yang aktif dalam dewan kuliah, golongan yang iri hati ini akan memikir cara untuk ’mengetuk’ pelajar tersebut supaya menjadi lebih pendiam.

Antara tindakan yang dilakukan mungkin mengejek pelajar tersebut sebagai tukang bodek, ataupun mungkin mencapub (capub = cari publisiti). Tekanan psikologi sebegini wujud dalam minda para pelajar sekarang. Sekiranya terdapat individu yang berpotensi untuk menonjol, maka individu tersebut akan diberi tekanan sehingga mungkin ada yang patah hati atau timbul rasa malu diejek dan mendiamkan diri.

Mungkin juga perkara sebegini berlaku kerana kurang matangnya para pelajar di universiti tempatan, tetapi sekiranya perkara ini berlaku di institusi yang sepatutnya melahirkan cendikiawan, maka masalah besar mungkin akan terjadi. Daya kemampuan untuk bercakap di khalayak ramai adalah kurang. Ini juga mungkin menerangkan mengapa graduan tempatan kurang kemahiran untuk berkomunikasi. Sebenarnya tiada silapnya dengan sistem, tetapi masalah adalah pada pangkalnya, iaitu minda pelajar itu sendiri.

Ayat-ayat seperti ’kau fikir kau hebat? Hendak berdebat atau tidak bersetuju dengan pensyarah?’ atau ’Dia tu professor, dengar je la, kau tu, degree pun tak habis lagi’ seperti ini kadang-kadang memang terkeluar daripada mulut para pelajar. Tidak mungkin perdebatan berlaku di tepi-tepi jalan, di denai-denai atau lorong-lorong seperti zaman Aristotle sekiranya majoriti individu dalam masyarakat kita berpendapat sedemikian. Mungkinkah ilmu logik akan bercambah dalam masyarakat yang mempunyai pemikiran sebegini?

Berdasarkan perbualan dengan seorang professor sains sosial, dapat saya perhatikan bahawa pemikiran sebegini tidak wujud di kalangan para pelajar ketika beliau belajar di universiti 30-40 tahun dahulu. Adakah ’penyakit’ ini baru menular pada generasi saya?(Adakah hal ini turut berlaku di dewan-dewan kuliah di universiti 10-20 tahun dahulu?) Ini mungkin penting untuk membuat ramalan bilakah sebenarnya pemikiran sebegini mula muncul dalam masyarakat.

Dan sekiranya kesan yang timbul adalah begitu menjahanamkan bangsa dalam pembentukan ilmu, apakah yang akan berlaku 30-40 tahun akan datang? Apakah tingkat pengetahuan cendikiawan pada waktu itu? Apakah yang mampu dihasilkan oleh cendikiawan pada ketika itu? Adakah pemikiran ini mampu untuk membuat masyarakat kita mengundur kebelakang dalam bidang penerokaan ilmu pengetahuan? Atau mungkin membantutkan terus penerokaan ilmu-ilmu baru, kerana jelas sekali budaya Poyo ini menghalang para pelajar untuk mengkritik dan menyuarakan pendapat. Boleh saya katakan di sini bahawa pemikiran sebegini merupakan ’barah’ yang jika tidak diteliti dan diatasi akan membawa parah kepada masyarakat.

Perkara pertama yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah mungkin adalah untuk memahami masalah itu sendiri dan saya yakin, masalah ini belum difahami dengan mendalam. (Dari segi asal usul perkataan, dan penularannya dalam masyarakat kita)

Mudah-mudahan penulisan ini membuka ruang untuk memahami dan mengatasi masalah tersebut.

Nota: Penulis Hamidi Razak , merupakan Graduan Sains Aktuari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2008.


3 input now:

yuzuki said...

this post is really awesome..

tahniah kerana dapat mencetuskan idea untuk entry ni :)
making others to open up mind for the reality in our educational system nowadays..

Afiz Totens said...

tq2. its just a copy paste anyway. :)

inilah realitinya. mahasiswa perlu ubah mindset..

saya said...

setuju!