Q1. Apa dan bagaimana asal-usul kita ?
Kita adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah s.w.t Kita tidak lahir dengan sendiri, ibu bapa hanyalah jalan atau wasilah untuk mengeluarkan kita tetapi mereka bukan pencipta kita. Sebagai bukti, masih ramai ibu bapa yang tidak memperolehi anak walau mereka sangat menginginkannya lantaran kuasa dan upaya penciptaan itu bukan milik mereka. Firman Allah s.w.t :
Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah; [7] Kemudian Dia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati iaitu dari air(benih) yang sedikit dipandang orang[8] As-Sajdah
Siapa pun dan bagaimana pun kita hari ini, ia bermula dari satu titik permulaan ataupintunya iaitu bermula dari sehembus nafas dan nyawa yang ditiupkan Allah s.w.t kepada kita. Tanpanya, kita tiada apa-apa..
Q2. Adakah mati dalam kawalan kita ?
Sebagaimana ia mencipta kita, Dialah Allah s.w.t yang sangat berkuasa yang akan mematikan kita. Firman Allah s.w.t :
Dan sesungguhNya, Dialah yang mematikan dan menghidupkan (An-Najm : 44)
Ketahuilah sesungguhnya
mati bukan dalam bidang kuasa kita. Kita tidak tahu bila kita akan dimatikan dan di bumi mana kita akan dikuburkan. Mungkin sahaja malam ini, mungkin sahaja esok, lusa, minggu depan, bulan depan, tahun ini atau tahun depan. Tiada siapa yang tahu.
Sangat menghairankan apabila kita masih hidup sepertinya mati dalam kawalan kita. Sudah kerap kita dikejutkan dengan berita kematian sahabat handai mahupun kerabat terdekat. Adakah mustahil selepas ini kematian kita pula akan memeranjatkan mereka ?
Q3. Mati - tamatlah segalanya ?
Sebagai muslim mukmin, kita meyakini bahawa kita tidak mati begitu sahaja. Ada kebangkitan selepas kematian yang namanya akhirat. satu perjalanan yang bermula dengan alam barzakh, qiamat, alam mahsyar dan seterusnya hinggalah perhentian berakhir dengan satu antara dua perhentian. Syurga atau neraka. Syurga, destinasi akhir bagi manusia yang berbahagia. neraka, destinasi akhir bagi manusia yang celaka. Jika kita dimatikan detik ini juga, adakah kita telah merasa pasti yang manakah satu destinasi terakhir kita ? Firman Allah s.w.t :
Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati?)[4] Pada hari(kiamat) yang amat besar(huru-haranya), [5] hari berdiri manusia untuk menghadap Tuhan sekalian alam? [6] Al-Muthaffin
Q4. Siapa kita dan untuk apa hidup ini ?
Destinasi akhir kita di alam akhirat itu sangat bergantung kepada bekalan yang sempat kita kumpulkan ketika hidup di dunia ini. Soalnya siapa kita ini dan untuk apa hidup ini ? Kita semua adalah hamba Allah s.w.t Berkewajipan melaksanakan seluruh perintah dan meninggalkan laranganNya dengan ketaqwaan yang bersungguh-sungguh. Firman Allah s.w.t :
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan menusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu[56] Az-Zaariyat
Hamba yang dibebankan dengan jawatan selaku khalifah, untuk mengurus tadbir dan membimbing alam seluruhnya dengat syariat Allah s.w.t. Hamba yang diberi tempoh hayat yang tidak lama untuk membuktikan kesetiaan dan komitmen mereka dengan Penciptanya dalam melaksanakan beban amanah tersebut.
Q5. Bagaimana kita beroleh jawapan kepada segala soalan ini ?
Keempat-empat asas yang telah disebutkan sebelum ini, adalah titik noktah yang sangat penting untuk sentiasa diperbaharui ingatan dan kesedaran tentangnya. Asal usul, pengakhiran, hakikat insan dan hakikat dunia yang sebenar bersumberkan sumber yang sangat kukuh. Sumber yang sangat kukuh itulah asas kelima yang dimaksudkan. Hari ini ramai manusia yang mencipta pegangan dan prinsip hidup, membentuk corak pemikiran, yang kemudiannya menghasilkan sesuatu nilai dan budaya yang kemudiannya menatijahkan tindakan-tindakan bukan dari sumber yang kukuh dan konkrit.
Marilah kita kembali kepada sumber yang paling kukuh, sumber yang konkrit, mukjizat yang mencengangkan dan tidak dapat dipertikaikan kesahihannya semenjak dahulu, kini dan selamanya iaitu wahyu Ilahi, Al-Quran dan Hadith sahih yang menjadi sumber tertinggi dalam Islam selaku cara hidup manusia yang sepatutnya.
© PIPI dan Saham
3 input now:
thanx for sharing tazkirah ni..
peringatan pada kami supaya kembali pada fitrah :)
tidur pun mati kan?
yuzuki : welkam. setuju. :)
segi7 : mati kecil kot.. anugerah tak ternilai bila dapat bangun semula.. :)
Post a Comment