October 26, 2009

Jari yang lima..




Pelbagai hikmah dan tafsiran yang boleh
diandaikan di sebalik jari anda yang lima. Cuba
perhatikan perlahan-lahan jari anda. Luruskan ia
ke hadapan dalam keadaan terbuka. Renung
dalam-dalam. Kewajipan solat lima waktu jangan
diabaikan.


Kemudian lekapkan jari itu di atas meja,
perhatikan. Bermula daripada jari kelingking yang
kecil dan kerdil, seperti manusia dan apa sahaja
akan bermula daripada kecil kemudian besar dan
terus membesar. Itulah fitrah insan dan alam
seluruhnya. Apa sahaja yang dilakukan mesti
bermula daripada kecil. Bak kata
pepatah "melentu buluh biarlah daripada
rebungnya". Kegagalan mendidik di usia ini akan
memberi kesan yang besar pada masa hadapan.


Naikkan kepada jari kedua, jari manis namanya.
Begitu juga dengan usia remaja. Manisnya seperti
jari yang comel mulus ini. Apatah lagi kiranya
disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan
berlian, bangga tak terkira... pada ketika ini, alam
remaja menjengah diri. Awas!! Di usia ini
sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran
dan dugaan. Hanya iman dan taqwa menunjuk
jalan kebenaran. Pada usia ini, anda sudah baligh
dan mukalaf. Pastinya sudah dipertanggung-
jawabkan segala amalan di hadapan Rabbul Jalil.
Bersediakah anda??


Nah...naik kepada jari ketiga. Jari yang paling
tinggi, jari hantu namanya. Zaman remaja
ditinggalkan. Alam dewasa kian menjengah. Di
peringkat umur 30-an ini seorang itu telah
mempunyai status dan identiti dengan ekonomi
yang kukuh serta kerjaya yang teguh. Namun,
anda mesti berhati-hati kerana di kala ini
banyak "hantu-hantu pengacau" yang datang
menggoda. Hantu hasad dengki, hantu ego, hantu
tamak, hantu iri hati dan seribu macam hantu lagi.
Kalau gagal mengawal emosi lantas terus masuk
ke jerangkap nafsu dan syaitan. Justeru itu, amal
ibadat mesti dilipatgandakan.



Kita beralih kepada jari telunjuk. Jari inilah yang
mengungkap satu dan esanya Allah SWT ketika
solat. Genggamkan kesemua jari dan keluarkan
jari ini. Gagahnya ia sebagai penunjuk arah,
menjadi contoh dan tauladan. Manusia yang
berada di tahap usia ini, hendaklah tampil
sebagai model kepada generasi baru dan
pembimbing yang kaya dengan idea bernas dan
minda yang hebat.


Akhir sekali, renung ibu jari. Ianya besar dan
pendek tetapi menunjukkan kematangan dan
kehebatan yang membanggakan. Tugasnya
membenarkan sesuatu dan mentafsirkan pelbagai
perkara. Bak kata orang Jawa "cap jempol" atau
cap jari. Kalau dia ada, semua urusan berjalan
lancar. Buat generasi muda, rujuk dahulu kepada
orang tua atau yang berpengalaman. Sekiranya
petunjuk mereka anda patuhi, nescaya anda boleh
berkata "good" atau "yes" sambil menggengam
semua jari dan angkat ibu jari ke atas itulah rahsia
kejayaan anda.


Akhirul kalam, cuba lihat sekali lagi jari anda yang
kelima-limanya itu. Renung dan fikir dalam-dalam.
Di manakah anda sekarang???

0 input now: