July 2, 2010

Pray hard, Work smart !

Kami menghadapi masalah dua ekstrem dalam organisasi ni,” kata seorang pengurus bahagian sumber manusia.
“Ekstrem? Fahaman melampau? Militan?” tanya saya bergurau.
“Bukan. Tapi pertentangan antara dua golongan. Satu workaholic dan satu lagi solatholic.”
Saya terkejut dengan istilah itu. Workaholic memang selalu saya dengar tetapi kalau solatholic itulah kali pertama saya mendengarnya.
“Encik tahu apa maksud workaholic?” tanyanya.
“Orang yang gila atau mabuk kerja,” jawab saya merujuk kepada makna yang diberi dalam kamus seperti yang pernah saya baca dahulu.
“Solatholic pula orang yang gila solat!” jelasnya tanpa dipinta.
“Jadi apa masalahnya?’
“Dua golongan melampau ini boleh menjejaskan operasi organisasi ini.”
“Bagaimana?”
“Yang workaholic mabuk kerja hingga tinggal solat. Dan encik tentu tahu apa akibatnya orang yang tinggal solat…”
Belum sempat saya membalas katanya, dia bersuara lagi, “mereka ini kerja beres tetapi ada masalah dengan rakan sekerja yang lain.”


“Yang solatolic bagaimana?”
“Rajin solat tetapi kerja tak beres. Kerja sambil lewa. Bagus beragama tetapi culas kerja.”
“Itu kira tak bagus beragamalah, “pintas saya perlahan.
“Mengapa?”
“Agama itu kan cara hidup yang sempurna? Termasuk solat, kerja dan seluruh sistem hidup. Jadi, orang yang culas kerja ertinya culas juga beragama. Begitu juga orang yang rajin bekerja tetapi malas solat. Itu pun tidak sempurna dalam beragama,” jelas saya agak panjang.
“Bagaimana nak tangani masalah dengan kelompok solatolic ni?”
“Solatholic bukan masalah, “ ujar saya.
“Tak masalah kata awak. Orang ini mabuk sembahyang!”
“Apa maksud dengan mabuk sembahyang?”
“Banyak sembahyang?’
“Kalau begitu tak salah mabuk sembahyang sebab nabi Muhammad pun begitu…”
“Maksud awak?”
“Nabi Muhammad terlalu banyak dan lama berdiri solat, sehingga kakinya bengkak-bengkak. Kalau itu boleh dikatakan solatholic, ya Nabi Muhammad adalah seorang yang solatholic. Bahkan baginda menganjurkan jika kita hendak bersamanya di syurga kelak, perlu banyakkan sujud. ”
“Rasulullullah diberitakan bila sujud, seakan-akan tidak mahu berakhir,” tambah saya lagi.



Pengurus itu kehairanan. Jelas kelihatan dia jadi serba-salah dengan kata-katanya tadi. Saya senyum, sambil menepuk bahunya.
“Tapi nabi Muhammad juga workaholic.”
“Baginda juga workaholic?”
“Ya. Bayangkan bagaimana Rasulullah s.a.w begitu banyak kerja dan urusannya. Mentadbir seluruh negara, menyusun masyarakat, mengajar, mendidik, memimpin dan pelbagai lagi tugasan dalam keluarga, masyarakat dan negara.”
“Baginda seorang yang workaholic?”
“Tak tahulah apa yang dimaksudkan dengan istilah workaholic tu tetapi jika itu bermaksud kerja keras, banyak bekerja dan gigih pula… yang Rasulullah saw memang begitulah.”
“Jadi seorang itu boleh jadi solatolic dan dia juga workaholic pada suatu masa yang sama seperti Rasulullah?”
“Ya, sewajarnya begitu. Cuba dengar apa yang diluahkan oleh Sayidina Umar Al Khattab insan yang berjaya meneladani Rasulullah s.a.w…”
“Apa katanya?”
“Aku bimbang untuk tidur pada siang hari, takut urusan ku dengan manusia tidak selesai. Dan aku juga bimbang untuk tidur pada malam hari takut urusan ku dengan Allah tidak selesai.”
Dia diam. Benar-benar dalam berfikir.
“Pada siang hari Umar Al Khattab seorang yang workaholic dan pada malam harinya pula dia seorang yang solatolic. Itu maksud awak?”
“Pray hard, work smart. Begitulah kira-kiranya.” Saya mengiakan.
“Bagaimana boleh jadi begitu? Apa yang saya faham solatolic dan workaholic tidak mungkin bersatu pada diri seorang manusia. Kalau dia solatolic, secara automatik dia bukan workaholic. Begitulah sebaliknya.”
“Tidak begitu. Bekerja adalah satu ibadah… ibadah umum namanya. Manakala solat juga satu ibadah. Ia ibadah yang khusus dan asas. Kedua-duanya dituntut oleh Islam untuk dilaksanakan. “
“Ada kaitan antara ibadah asas dan ibadah umum? Maksud saya antara solat dan kerja?”
“Ibadah asas itu banyak berkaitan dengan hubungan manusia dengan Allah. Ibadah umum pula berkaitan dengan hubungan kita sesama manusia.”
“Ada kaitan tidak?” tanyanya sekali lagi.
Saya diam. Berfikir sejenak.
“Orang yang paling kuat hubungannya dengan Allah dialah yang juga paling kuat hubungannya sesama manusia.”
“Kenapa?”
“Sebab kesan daripada kuat hubungan seseorang dengan Allah akan memberikan dia satu ketulusan dan kekuatan untuk berhubung sesama manusia. Solat akan memberi satu tenaga, semangat dan kekuatan dalam bekerja.”
“Bagaimana?”
Saya mula diasak dengan soalan bertubi-tubi. Tapi saya akur, bukan maksudnya untuk berbahas. Tetapi didorong oleh rasa ingin tahunya yang semakin tinggi.
“ Solat akan memberikan kita ketenangan hasil mengingati Allah. Solat akan mencegah daripada kejahatan dan kemungkaran. Cuba lihat rukun fik’li, qauli dan qalbi semasa mengerjakan solat… Bukankah semua itu mendidik kita agar bersih, menepati waktu, amanah, bercakap dan berbuat yang dibenarkan sahaja? Kesan solat yang sempurna akan memberikan kekuatan, keberkesanan dan kecekapan dalam bekerja,” terang saya satu persatu.
“Tetapi kenapa ada yang solatolic tetapi malas bekerja?”
“Tentu ada yang salah dengan solatnya. Mungkin solat itu dilaksanakan berdasarkan ritual semata-mata. Tidak difahami makna, tuntutan dan tujuannya. Itu solat yang tidak berjiwa. Umpama bangkai yang tidak bernyawa. Solat semacam itu tidak akan memberi kesan apa-apa pada perlakuan dan pekerjaan selepas mengerjakannya.”
“Hairan pula kenapa yang workaholic tetapi malas solat?’
“Sebabnya sama sahaja. Jika golongan pertama tadi mengerjakan solat tanpa kefahaman dan penghayatan, golongan kedua ini pula enggan mengerjakan solat kerana tidak nampak apa manfaat solat dalam kehidupan mereka… apatah lagi pada pekerjaan mereka. Solat dan kerja terpisah. Itu anggapan mereka.”
“Jadi bagaimana mengatasinya?”
“Golongan rajin solat mesti disedarkan, difahamkan dan dididik untuk bekerja kerana kerja itu satu ibadah. Tanda akrabnya seorang dengan Allah adalah banyaknya dia berkhidmat untuk manusia. Sayidina Umar pernah mengusir sekumpulan lelaki yang asyik duduk di dalam masjid tetapi tidak bekerja.”
“Bagi golongan workaholic pula?”
“Mereka mesti juga melalui proses yang sama yakni menyedari bagaimana solat itu akan memberi kekuatan dan ketenangan semasa bekerja. Ingat, tadbir kita walau sekuat atau sebijak mana sekalipun masih tertakluk kepada takdir Allah yang Maha Besar.”
Dan bagi mereka yang workaholic ini juga, kita perlu berikan peringatan, “ jangan nanti stres, kecewa dan keletihan melanda kita kerana keterlaluan memerah keringat atau mengasah fikiran. Solat perlu kerana ia memberi satu kerehatan dan penyembuhan kepada keletihan jiwa dan jasad. Lagipun rugi, jika solat ditinggalkan kerja mereka yang banyak itu tidak akan dikira sebagai ibadah. Hanya dapat laba tetapi kosong pahala. Ingat, solat itu kepala ibadat. Tanpa solat, segala amalan yang lain tidak akan diterima Allah.”
“Jadi tidak salah menjadi workaholic dan solatholic jika kita memahami dan mengamalkan ajaran Islam yang sempurna. Bahkan kita memang dituntut begitu. Bukankah begitu?”
Saya mengangguk.
“Workaholic untuk manusia, solatolic untuk Allah?”
“Yang paling tepat ialah bekerja kerana Allah untuk manusia!”
“Apa dia ungkapan yang awak katakan tadi?”
“Yang mana satu?” saya sendiri sudah terlupa.
“Pray hard, work smart!”
“Orang yang solatolic seharusnya menjadi orang yang workaholic. Solat akan membentuk orang yang mampu bekerja keras. Orang yang workaholic perlu melaksanakan solat, agar mendapat kekuatan, ketenangan dan mencegahnya daripada penyelewengan seperti rasuah, penindasan dan perbalahan sewaktu melaksanakan kerjanya.”
“Pemikiran ini akan saya sampaikan untuk meredakan konflik antara solatolic dan workaholic dalam organisasi ini!” ujarnya gembira.
Saya senyum lebar akhirnya. Alhamdulillah, semoga semuanya persoalan tadi dapat diselesaikan dengan jelas dan tuntas. Namun, jauh di sudut hati, masih ada kesedihan yang berbekas. Ya, jelas sekali betapa hubungan yang sinergi dan serasi antara solat dengan kerja sudah semakin kabur dalam diri umat ini. Bukan sahaja dalam amalinya bahkan dalam teorinya. Benarnya seperti yang selalu diungkapkan, Islam bukan sahaja agama yang paling disalahertikan oleh bukan Islam malah oleh umat Islam sendiri!

0 input now: